Jika kita berhadapan dengan orang yang kuat marah atau panas baran, cuba fahaminya atas dua sebab. Biasanya orang yang bersikap negatif begini kerana hidupnya dibelenggu oleh dua emosi negatif. Pertama, dia berasa tidak cukup kasih sayang. Kedua, dia berasa tidak cukup baik. Kedua-dua perasaan negatif itu timbul apabila dia dewasa, kerana pengalaman masa kecilnya sering dimarahi ibu bapanya, terutama apabila dia gagal memberikan pencapaian yang baik dalam pelajarannya, hingga dia berasa tidak disayangi oleh keluarganya.
Oleh sebab itu untuk ubah cara kita memandangnya, jangan kita cepat menghukum atau melabelkannya negatif (seorang yang tidak boleh didekati dan bekerja sama). Tetapi, pandanglah dia dengan pandangan kasih sayang dan simpati. Kalau emosi kita juga negatif, hendak marah juga kepadanya, bayangkan dua perkara. Pertama, orang yang kita hendak marah itu kanak-kanak umur lima tahun.Pasti kita tidak tergamak dan kita akan memandangnya dengan kasih sayang. Kedua, bayangkan bagaimana buruk perangainya ketika dia mempamerkan emosi negatifnya itu maka kita kena cepat berfikir adakah kita mahu memperbodohkan diri menjadi buruk tingkah laku sama sepertinya?
Seterusnya cuba fahami dia, kerana setiap daripada kita mempunyai aura yang berbeza. Sebab itu pepatah Melayu ada mengatakan, “Banyak udang banyak garam, banyak orang banya ragam”. Manusia mempunyai tiga jenis perangai. Pertama, seorang yang suka melenting, (auranya asyik melenting sahaja) neurotik, macam orang sakit mental. Kedua, manusia biasa, jika tiada krisis dia normal tetapi kalau ada krisis dia mesti melawan.
Ketiga, manusia yang auranya sangat dekat dengan Allah, maka orang yang begini auranya tinggi. Jika ada perkara yang buruk berlaku tidak menjadi masalah kepadanya. Orang-orang yang menuju ke arah ini, apabila dipuji tidak berasa bangga, apabila dikeji atau dimarahi orang, dia tidak berasa marah. Audit diri kita, kita berada pada kategori mana? Apabila dikutuk atau dimarahi adakah kita akan melenting? Maka kita kena bijaksana memilih aura diri supaya kita tidak turut menjadi negatif sama sepertinya.
Jika kita berhadapan dengan orang yang malas, buat kerja suka bertangguh, kalau laksanakan kerja hasilnya tidak sempurna dan kita melihat orang yang membuat sesuatu kerja itu tidak seperti yang kita hendak, kita hendaklah bersangka baik kepadanya.
Positif
Mungkin ilmunya dan pengalamannya belum sampai tahap ilmu kita, maka kita ajarinya, beri peluang dia mengikuti kursus kemahiran yang boleh mempertingkatkan mutu hasil kerjanya dan, beri masa kepadanya untuk menimba pengalaman. Tegur kesilapannya dengan baik dan beri kesedaran kepadanya.
Semuanya dalam genggaman Allah, pujuk hati kita supaya tingkat kesabaran kita juga tinggi, dan tidak pula kita yang menunjukkan sikap negatif, marah dan merungut kepada pekerja kita yang bersikap negatif itu. Anggap satu ujian dan cabaran daripada-Nya untuk mengukur tahap kesabaran kita pula. Fokus kepada kebaikan cari kebaikan, jangan fokus kepada kelemahan.
Dalam menasihati orang, jangan menghukum, jangan bersangka buruk, berterus terang cakap dari hati ke hati apa yang patut dan tidak patut, apa yang kita harapkan terjadi dan apa yang sepatutnya dielakkan, tonjolkan kebaikan jangan cari kelemahan sahaja, serta bina kasih sayang dan akaun emosi yang positif antara majikan dengan pekerja.
Bagaimanakah pula jika kita berhadapan dengan orang yang cerewet? Manifestasi orang yang cerewet ini, dia berasa dia cukup baik, cukup sempurna, dia sahaja yang betul hingga dia melihat orang sekelilingnya tidak betul, asyik nampak salah orang dan tidak pernah berpuas hati. Orang yang begini suka “membuktikan” kehebatannya dan, hal ini bermakna dia mengharapkan sanjungan serta pujian. Sikap negatif ini pasti mewujudkan suasana persaingan, bukan suasana kerja sama.
Kita perlu bersabar dengan orang yang begini. Untuk memenangi hatinya, berikan apa yang dia mahu, puji dan nyatakan kita turut berbahagia dengan kejayaan dan berbangga dengan kehebatannya. Setelah kita berjaya memenangi hatinya, dan dia senang mendekati kita, perlahan-lahan sisipkan atau tangkiskan sikap negatifnya dengan kesyukuran dan kesedaran apa-apa yang kita ada hanya sementara semuanya milik Allah. Hal ini kerana orang hanya akan mendengar nasihat, daripada orang yang dihormati dan disenanginya.
Jika kita berhadapan dengan orang yang suka mengumpat bagaimanakah kita menanganinya? Kita kena fahami bahawa penyakit dengki ini berpunca dari hati. Jadi kita kena bimbing dia membersihkan hatinya. Tunjukkan contoh teladan yang baik (daripada sikap/pendirian/pemikiran positif kita) yang menjadi magnet diri untuk memberikan kebaikan kepada orang lain.
Orang akan mengumpat orang yang dia dengki akibat kekurangan dirinya. Mungkin dia tidak kaya, tidak berjaya, tidak bahagia dan tidak tenang seperti orang lain. Cuba fahaminya dan bimbing dia membina magnet diri positif.
Sebab kita tidak akan dapat apa yang kita benci tetapi kita akan dapat apa yang kita suka. Kalau kita benci orang kaya kita tidak akan kaya. Kalau kita benci orang yang bahagia kita tidak akan dapat kecap kebahagiaan. Sebab kalau kita hendak kehidupan yang positif kita kena suka dengan orang yang telah mengecap kejayaan agar magnet diri mereka yang positif itu akan bermagnet kepada kita. Orang yang dengki kerana akidahnya tidak mantap.
Kita dengki apabila kita tidak berpuas hati sebab orang dapat apa yang kita rasakan dia tidak patut dapat, dan kita tidak dapat apa yang kita rasakan kita patut dapat. Maka itu tanamkan kesedaran dalam hati mereka rasa bersyukur dengan apa yang kita ada dan usah persoalkan apa yang kita tidak ada. Percayalah kepada qada dan qadar Allah.
Untuk menangani orang yang negatif ini, kita kena fikirkan bukan macam mana kita hendak berhadapan dengan orang negatif itu tetapi, apa yang kita belajar daripada orang yang bersikap negatif itu. Seterusnya tanamkan rasa kasihan apabila melihat orang yang bersikap negatif bukan melihat mereka dengan perasaan menyampah. Doakan semoga orang yang bersikap negatif itu diberi hidayah oleh Allah, berubah ke arah kebaikan.
Doakan juga untuk diri kita agar Allah tidak membolak-balikkan hati kita hingga berubah perangai kita daripada seorang yang positif menjadi seorang yang negatif hingga dibenci orang, serta berdoa agar Allah tingkatkan keimanan kita dengan kesabaran. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.